Friday 14 November 2014

URUS EMOSI AMARAH DAMAILAH JIWA INSAN



TUGASAN  SVW502: PEMBANGUNAN INSANIAH

URUS EMOSI AMARAH DAMAILAH JIWA INSAN

SITI ROMILAH BINTI MAT YAJID
P-SM0052/13
CALON SARJANA SAINS KEMASYARAKATAN (PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)




PENGENALAN

Baru-baru ini, akhbar Berita Harian ada memaparkan isu amarah yang dilaporkan seperti berikut “kerana marah pasukan Selangor diserbu pasukan sorak Ultras Selangor selepas persembahan yang buruk apabila tewas 0-4 kepada FELDA United pada suku akhir pertama Piala Malaysia 2014 di Stadium Shah Alam” (Berita Harian Online, 9 Oktober 2014). Berikut adalah salah satu contoh yang menunjukkan emosi amarah yang ada dalam diri insan.  Segalanya terjurus kepada emosi sehingga mereka tidak dapat menahan lagi perasaan yang amat kecewa kemudiannya mencetuskan kemarahan. Sifat pemarah berpunca daripada emosi insan yang tidak terkawal. Emosi amarah ini jika tidak dibendung dan dikawal dengan baik boleh memberi impak negatif pada diri pemarah dan juga kepada orang yang dimarahi. Tiada ketenangan pada seorang pemarah kerana apabila marah dituruti, ia akan membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tertinggal kecuali debu. Sifat marah jika digunakan pada tempat dan masa yang sesuai boleh memberi manfaatnya. Persoalannya, apakah kesan daripada amarah dan adakah ada positifnya sikap amarah ini? Artikel ini ditulis bagi membincangkan berkenaan sifat amarah dalam diri insan dan turut memberi kesan kepada jiwa insan dan masyarakat, mengurus sifat amarah boleh mendamaikan jiwa insan mahupun masyarakat. Perbincangan dalam artikel ini adalah berkaitan empat aspek utama iaitu pertama, mengenal sifat amarah; kedua, kesan daripada sifat amarah; ketiga, penyelesaian kepada sifat amarah menurut pembangunan insaniah dan diakhiri dengan kesimpulan.