Friday, 14 November 2014

URUS EMOSI AMARAH DAMAILAH JIWA INSAN



TUGASAN  SVW502: PEMBANGUNAN INSANIAH

URUS EMOSI AMARAH DAMAILAH JIWA INSAN

SITI ROMILAH BINTI MAT YAJID
P-SM0052/13
CALON SARJANA SAINS KEMASYARAKATAN (PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)




PENGENALAN

Baru-baru ini, akhbar Berita Harian ada memaparkan isu amarah yang dilaporkan seperti berikut “kerana marah pasukan Selangor diserbu pasukan sorak Ultras Selangor selepas persembahan yang buruk apabila tewas 0-4 kepada FELDA United pada suku akhir pertama Piala Malaysia 2014 di Stadium Shah Alam” (Berita Harian Online, 9 Oktober 2014). Berikut adalah salah satu contoh yang menunjukkan emosi amarah yang ada dalam diri insan.  Segalanya terjurus kepada emosi sehingga mereka tidak dapat menahan lagi perasaan yang amat kecewa kemudiannya mencetuskan kemarahan. Sifat pemarah berpunca daripada emosi insan yang tidak terkawal. Emosi amarah ini jika tidak dibendung dan dikawal dengan baik boleh memberi impak negatif pada diri pemarah dan juga kepada orang yang dimarahi. Tiada ketenangan pada seorang pemarah kerana apabila marah dituruti, ia akan membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tertinggal kecuali debu. Sifat marah jika digunakan pada tempat dan masa yang sesuai boleh memberi manfaatnya. Persoalannya, apakah kesan daripada amarah dan adakah ada positifnya sikap amarah ini? Artikel ini ditulis bagi membincangkan berkenaan sifat amarah dalam diri insan dan turut memberi kesan kepada jiwa insan dan masyarakat, mengurus sifat amarah boleh mendamaikan jiwa insan mahupun masyarakat. Perbincangan dalam artikel ini adalah berkaitan empat aspek utama iaitu pertama, mengenal sifat amarah; kedua, kesan daripada sifat amarah; ketiga, penyelesaian kepada sifat amarah menurut pembangunan insaniah dan diakhiri dengan kesimpulan.


DEFINISI AMARAH

Menurut Imam al-Ghazali, sikap amarah atau marah ialah nyalaan api bersumber daripada Allah yang menyala dan menjulang tinggi sehingga naik ke hati. Maka terpulang kepada seseorang untuk cepat marah, marah keterlaluan (marah tidak bertempat), marah pertengahan (mampu mengawal marahnya) atau tidak baik kepada orang yang marah, juga orang yang dimarahi. Imam Syafie juga ada menegaskan: “marah adalah satu di antara panahan syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya”.

Setiap insan berhak untuk marah, kerana marah adalah sebahagian daripada sifat manusiawi, marah terjadi kerana seseorang merasa terancam ataupun tidak selesa terhadap sikap insan lain yang membuatnya terganggu. Menurut Muhammad Ali (2006), marah bererti merasa atau perasaan yang sangat tidak senang dan panas kerana dihina atau apabila diperlakukan kurang baik. Mungkin dengan marah seorang itu merasa benar, kerana bertindak terhadap sesuatu yang mengancam diri, namun bukan bererti marah itu baik. Dari sudut ilmiah, sifat marah terbahagi kepada dua kategori iaitu pasif dan agresif. Emosi marah yang berbentuk pasif adalah membabitkan manipulasi psikologi seperti provokasi orang ramai untuk pencerobohan dan merendah-rendahkan. Marah yang berbentuk agresif adalah buli, melakukan kemusnahan, keganasan fizikal, penderaan, rogol, menyalah guna dadah, termasuklah pemanduan secara melulu, menggunakan bahasa dan jenaka yang kesat (Harian Metro Online, 2007).

KESAN DARIPADA SIFAT AMARAH

Sekiranya Islam dipermainkan, sebagai orang Islam perlu ada rasa marah dan ada rasa ingin mempertahankan agama Islam. Begitu juga jika negara dicerobohi, mesti ada rasa marah dan mengambil tindakan membelanya. Marah yang tidak bertempat sering kali memberi kesan yang negatif seperti mengundang permusuhan, hasad dengki, pertengkaran malah pembunuhan. Sejarah marah dapat dilihat dalam peristiwa iblis ketika diberi peluang oleh Allah SWT untuk memaafkannya melalui Nabi Musa a.s yang dilepaskan begitu sahaja. Marah dan dendamnya Iblis kepada Nabi Adam a.s membuatkan Iblis ke neraka. Allah SWT meminta Iblis memohon maaf kepada Nabi Adam a.s, dengan angkuh iblis menjawab, “kalau masa hidupnya aku tidak taat apa lagi selepas matinya Adam”. Oleh sebab, marahnya Iblis kepada Nabi Adam a.s menyebabkan Iblis ingkar terhadap perintah Allah SWT.

Emosi marah menyebabkan seseorang itu kehilangan pertimbangan dan kewarasan mental dan tindakan. Tidak patut sama sekali jika ada anak yang sejak kecil dibelai ibu dan ayahnya sanggup berbalah dan berpisah dengan kedua-dua ibu bapanya kerana mahu mengikut kekasih yang baru dikenalinya cuma 20 hari. Malah sifat marah ini ada di mana-mana, di kedai, taman atau pejabat dan jika tidak dikawal dengan sungguh-sungguh pastinya menghalang keharmonian di dalam masyarakat. Di rumah misalnya, seorang suami yang cepat marah tentu sekali mudah menengking dan mengherdik si isteri seolah-olah si suami sahaja yang betul. Tambah memeritkan apabila marah itu disertakan dengan tindakan ganas. Begitu juga di sekolah, seorang guru yang pemarah pantang muridnya melakukan kesilapan, diherdik dan didenda mengikut emosi, bahkan dipukul sepuas hati sehingga murid terbabit merana badan, sedang dalam diam menyimpan dendam berpanjangan (Penolong Pengarang Rencana Harian Metro, 2007).

Marah akan menghalang seseorang ke syurga. Sahabat Nabi SAW pernah bertanya, Ya Rasulullah, tunjukkan aku satu jalan yang membawa ke syurga”. Orang yang dapat masuk syurga ialah orang yang dapat mengawal hawa nafsunya itulah kekuatan yang sebenarnya. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:­ “Manusia yang gagah bukannya tunjuk kuat dalam pergaduhan tetapi yang paling gagah bila boleh mengawal marahnya.”

Ia boleh membawa kepada perbuatan menyakiti orang lain dan membenci serta merasa gembira apabila mereka ditimpa musibah. Seterusnya akan mencetuskan permusuhan dan kebencian di antara sesama manusia. Rosak kehidupan maka runtuhlah masyarakat.

Seperti yang dinyatakan sebelumnya, sifat amarah boleh membawa kebaikan sekiranya marah itu bertempat. Kebaikan sifat amarah in dapat dilihat pada salah satu contoh yang berlaku pada Arnoud Van Doorn, iaitu mantan Ahli politik Belanda yang sangat anti Islam. Kemudiannya kerana sikapnya yang terlalu marah dan benci pada Islam, membuatkan Arnoud Van Doorn sendiri mengkaji tentang Islam. Secara tidak langsung menariknya untuk memeluk agama Islam yang syumul ini (Wan Azrin Wahid, 2013). Walau bagaimanapun, sifat amarah banyak keburukannya daripada kebaikannya jadi sifat ini perlu dikawal dan diatasi.

PENYELESAIAN KEPADA SIFAT AMARAH MENURUT PEMBANGUNAN INSANIAH

Menurut Imam Ghazali, 9 punca menyebabkan sifat marah: rasa bangga diri (sombong), suka bergurau senda berlebihan, suka bercakap perkara sia-sia, suka membuat fitnah, suka berbantah-bantah, khianat, tamak, dengki dan iri hati. Semua perkara tersebut bermula dari hati. Oleh itu, bagi mengatasi emosi marah ini perlu kepada insan itu mendidik hati dengan menjalani proses tazkiyah al-nafs iaitu penyucian jiwa. Proses penyucian jiwa terbahagi kepada dua iaitu proses takhali dan tahalli. Proses takhali adalah proses membuang sifat-sifat mazmumah (terkeji) yang ada pada diri insan. Proses tahalli pula adalah proses menerapkan ataupun membina sifat-sifat mahmudah (baik) dalam diri insan. Emosi amarah adalah sifat yang mazmumah yang perlu dibuang dan diganti dengan sifat mahmudah iaitu sabar dan pemaaf.

Menahan diri daripada emosi amarah adalah sangat penting kepada setiap insan. Hal ini demikian kerana, Nabi Muhammad SAW apabila diminta oleh seorang lelaki supaya berpesan atau mengajarnya mengenai sesuatu perkara, Baginda menjawab ringkas iaitu ‘jangan marah’ dan ayat ini diulang sebanyak tiga kali. Sebalik sifat pemarah adalah sifat pemaaf, sifat pemaaf lahir daripada jiwa dan hati yang tenang dengan perkara yang kecil yang menimbulkan kemarahan. Jika ada sesuatu menimbulkan kemarahan, seseorang itu boleh berfikir untuk menilai diri.

Selain itu, Rasulullah SAW turut memberikan saranan atau kaedah bagi mengawal sikap pemarah iaitu ubati ialah dengan membaca doa: “Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang kena rejam”. Apabila sedang marah maka hendaklah membaca “ta’awwudz” (memohon perlindungan) kepada Allah sebab pada hakikatnya perasaan marah yang tidak dapat dikawal adalah daripada dorongan syaitan. Nabi bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang di antara kamu marah maka katakanlah: ‘Aku berlindung kepada Allah’, maka marahnya akan menjadi reda” (Hadis Riwayat Abi Dunya).

Seterusnya, sekiranya kemarahan itu tidak hilang dengan membaca ayat itu, maka hendaklah seseorang itu duduk jika dia marah dalam keadaan dia berdiri, berdiri sebenarnya keadaan bersedia untuk bertindak sebab itu Rasulullah SAW menyuruh duduk sebab duduk kurang sedikit kemahuan bertindak ganas.
Hal itu ditegaskan Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Marah itu daripada syaitan, maka apabila salah seorang di antara kamu marah dalam keadaan berdiri duduklah dan apabila dalam keadaan duduk maka berbaringlah.
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Begitu juga disuruh baring sebabnya ketika baring sudah tidak ada keupayaan untuk bertindak. Dekatkan diri dengan bumi, yang mana dari bumi itulah dia dijadikan dan supaya dia tahu kehinaan dirinya. Kemudian carilah dengan duduk dan berbaring itu ketenangan. Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

 “Ingatlah sesungguhnya marah itu adalah bara api di dalam hati anak Adam. Tidakkah engkau melihat kepada kedua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang membengkak? Apabila salah seorang kamu mengalami yang demikian, maka hendaklah dia melekatkan dirinya ke bumi”.
 (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Apabila sudah ta’awwudz, duduk, dan berbaring tidak mampu mengendalikan amarah maka usaha terakhir yang boleh dilakukan ialah dengan cara berwuduk atau mandi. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan dijadikan daripada api. Dan api hanya boleh dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, apabila seseorang di antara kamu marah maka berwuduklah atau mandilah.”

(Hadis Riwayat Ibnu Asakir dan Mauquf)

Selain itu, cara menghilangkan marah juga ialah dengan mendiamkan diri. Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Apabila seseorang di antara kamu marah, maka hendaklah dia diam (Hadis Riwayat Ahmad).

Oleh sebab kesan tercela yang ditimbulkan sifat marah itu, Rasulullah SAW menganjurkan umat manusia supaya jangan suka marah. Ia tidak akan mendatangkan perkara yang baik kepada diri. Ja’far bin Muhammad mengatakan, “Marah adalah pintu segala kejelikan.” Dikatakan kepada Ibnu Mubarak, “Kumpulkanlah untuk kami akhlak yang baik dalam satu kata! Beliau menjawab, “Meninggalkan amarah.” Sifat amarah boleh dirawat dan perlukan kepada ilmu dan amal. Antara lain langkah yang boleh dipraktikkan untuk mengawal sikap pemarah. Terdapat enam kaedah, berikut adalah seperti:

1.  Bertafakur memikirkan kisah teladan yang menyentuh buruk baiknya bersifat marah, berfikir keutamaan menahan kemarahan, memberi maaf dan berlemah lembut. Dengan cara itu, akan menjadikannya gemar dan suka kepada pahala yang bakal diperoleh daripada menghiasi diri dengan sifat tadi. Seterusnya dapat mencegahnya dari bersifat marah.
2.  Seseorang itu menakutkan dirinya kepada seksaan Allah SWT dengan mempercayai bahawa kekuasaan Allah ke atas dirinya lebih besar dari kekuasaannya ke atas manusia lain.
3.    Mengingatkan diri akibat permusuhan dan pembalasan dendam.
4.   Berfikir mengenai bentuk buruk dirinya ketika dia marah dan berfikir betapa kejinya sifat marah itu.
5.    Berfikir sebab yang membawanya kepada kemarahan.         
6.   Menyedari kemarahannya berpunca daripada sikap membanggakan diri sendiri yang tidak sesuai dengan kehendak Allah SWT.

KESIMPULAN

Tuntasnya, sikap amarah atau marah itu jika tidak diselarikan dengan tindakan yang sewajarnya banyak memberi keburukan daripada kebaikan. Seseorang insan itu bukanlah tidak boleh ada emosi amarah akan tetapi emosi amarah itu biarlah kena pada tempatnya dan bersesuaian dengan kehendak Islam. Emosi amarah ini akan membuatkan seseorang insan itu hilang ketenangan dan kedamaian dalam jiwa. Oleh itu, sifat marah perlu diurus dengan sebaik mungkin dengan mempraktikkan cara pengurusan emosi amarah yang telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Hapus amarah lahirkan sifat pemaaf kerana sifat pemaaf lahir daripada jiwa dan hati yang tenang hasil tarbiah berterusan.



No comments:

Post a Comment