Tuesday, 5 November 2013

DUNIA BERDARAH, PEMBUNUHAN DEMI PEMBUNUHAN


TUGASAN SIW 505
DUNIA BERDARAH, PEMBUNUHAN DEMI PEMBUNUHAN
SITI ROMILAH BINTI MAT YAJID
P-SM0052/13
CALON SARJANA SAINS KEMASYARAKATAN (PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)
 

 Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak pembunuhan yang berlaku. Hampir setiap hari ada sahaja berita tentang pembunuhan yang menyayat hati. Bukan hanya orang dewasa yang menjadi mangsa, malah kanak-kanak juga turut menjadi mangsa. Pelbagai cara dilakukan terhadap mangsa yang seperti menembak, menikam, membakar malah sanggup mengerat badan  mangsa. Manusia kini sudah hilang pertimbangan yang waras dalam membuat tindakan. Jika dahulu orang melihat pembunuhan sebagai sesuatu yang tidak harus berlaku tetapi apabila setap hari berlaku ia sudah menjadi sesuatu kebiasaan. Perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di mana-mana sahaja. Akan tetapi, yang mendukacitakan ialah apabila berlaku pembunuhan sesama umat Islam. Di dalam Islam, agama Islam sangat mementingkan penjagaan nyawa kerana ia adalah termasuk dalam salah satu daripada lima maqasid syariah yang perlu dijaga dan pertahankan oleh umat Islam. Oleh itu, timbul persoalan bagaimana cara pandang atau tasawur pembunuh terhadap pembunuhan yang dilakukannya? Jadi artikel ini, ingin melihat dua perkara penting dalam membincangkan perkara pembunuhan ini. Pertama, ingin melihat epistemologi Islam yang berkaitan dengan pembunuhan. Kedua, ialah ingin melihat kaitan antara pembunuhan dengan tasawur Islam.



Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, perkataan pembunuhan adalah bermaksud perbuatan membunuh. Berdasarkan sejarah, pembunuhan yang pertama yang berlaku di dunia adalah antara dua orang anak Nabi Adam as iaitu Habil dan Qabil. Kedua orang inilah merupakan manusia yang pertama melakukan pembunuhan yang berlaku di atas muka bumi ini sehinggakan yang membunuh tidak tahu cara untuk menguruskan mayat yang dibunuh. Kemudian Allah mengutuskan gagak untuk menunjukkan bagaimana cara menguruskan mayat tersebut. Di dalam al-Quran telah diceritakan bahawa setelah Qabil membunuh saudaranya Habil, Qabil sangat menyesal. Sepertimana firman Allah yang bermaksud,

 “Kerana itu  jadilah dia di antara orang-orang yang menyesal.” ( al-Maidah, 5:31).

Akibat daripada pembunuhan itu Rasulullah s.a.w bersabda,

"Tidak satu pun jiwa yang terbunuh secara zalim melainkan anak Adam yang pertama ikut menanggung dosa pertumpahan darah itu kerana dialah orang pertama yang mennjukkan contoh pembunuhan (Hadis Riwayat  Bukhari).

 Manusia  sebenarnya diciptakan dengan sebaik-baik ciptaan. Hadir dalam keaadan fitrah iaitu bersih dan suci. Namun apabila roh bercampur dengan jasad, manusia seoalah-olah lupa perjanjian dengan Allah semasa di Luh Mahfuz. Manusia telah diciptakan dengan sebaik-baik ciptaan berdasarkan firman Allah yang bermaksud;

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunya mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itulah seperti binatang terbakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (al-A'raaf, 7:179).

Menurut Dr. Mohd Arif, Pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kegagalan manusia menggunakan pancaindera menyebabkan mereka hilang kemuliaan jawatan sebagai sebaik-baik manusia dan akhirnya menjadi penghuni seburuk-buruk tempat kembali adalah neraka. Sepatutnya sebaik-baik ciptaan tempat kembalinya adalah syurga. Sesungguhnya Allah menjadikan pembunuh itu juga sebagai satu fitnah. Apabila berlaku pembunuhan manusia yang terlibat di dalam pembunuhan itu menerima nasib yang sama. Bagi orang zalim pembunuhan itu adalah satu bala. (dipetik dari majalah Al- Islam bil ke-37 oleh Norimanah Seman).

Setelah dibincangkan dari sudut epistemologi, perbincangan kedua pula berkaitan dengan sudut pandang atau tasawur pembunuh tersebut. Al- Quran secara langsung mahupun tidak langsung telah mengambarkan tiga perkara penting yang menjadi elemen utama dalam tasawur Islam. Tiga perkara utama tersebut ialah pertama, Allah SWT sebagai pencipta; kedua, manusia sebagai makhluk; dan ketiga, sumber alam sebagai makhluk (Muhammad Syukri, 2003).

 Bagi membincangkan  pembunuhan dengan tasawur Islam, wujud kaitan  antara sikap pembunuh dengan elemen utama tasawur Islam. Hal ini, dapat dilihat dari  aspek hubungan iaitu hubungan baik manusia sesama manusia. Oleh itu, jelas menunjukkan pembunuh tidak menjaga hubungan baik dengan sesama manusia apatah lagi hubungan dengan pencipta. Sedangkan agama sangat menuntut untuk untuk kita menjaga hubungan dengan Allah dan menjaga hubungan dengan manusia.

Melihat kepada perbuatan yang dilakukan oleh pembunuh itu, mereka tidak percaya kepada adanya hari kiamat. Padahal pada hari tersebut, segala amalan manusia dihitung. Agama juga sangat melarang manusia membunuh sesama manusia, sepertimana firman Allah yang bermaksud:

"Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seseorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak di antara mereka sesudah itu, sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat keerosakan di muka bumi." (al-Maa'idah, 5: 32).

          Ayat tersebut menyentuh tentang suatu sifat kemanusiaan yang telah Allah syariatkan dan tiada satu pun yang mampu menandingi kebijaksanaanNya. Membunuh jiwa seseorang tanpa hak, dan tanpa memandang agama apa yang dianutnya atau aliran apa yang disukainya, sama saja dengan membunuh seluruh umat manusia. Dan menghidupkan satu orang dalam pengertian menyelamatkan nyawanya dari bahaya yang mengancam dirinya, seperti bahaya kebakaran, bahaya tenggelam, bahaya kelaparan dan bahaya sakit, maka seolah-olah menyelamatkan seluruh manusia. (Ajaran Islam, 2013).

Seorang yang melakukan pembunuhan juga tidak menghiraukan larangan Allah dan azab yang akan diterimanya sekiranya melakukan pembunuhan. Allah telah memberi peringatan di dalam firmanNya yang bermaksud:

"Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah Jahanam, kekal ia didalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutuknya serta menyediakan azab yang besar baginya." (an-Nisa', 4: 93).

Tujuan hidup manusia adalah untuk mencari keredhaan Allah SWT ataupun Mardhatillah. Apabila tercapai keredhaan Allah SWT, Allah SWT akan mengurniakan al-falah, yakni kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain, kebahagiaan di akhirat hanya boleh dicapai dengan mendapat keredhaan Allah SWT. (Muhammad Syukri, 2003). Jadi, untuk mendapat keredhaan Allah, setiap manusia hendaklah sentiasa mengikut suruhan dan menjauhi larangan Allah SWT.

Tuntasnya, pembunuhan bukan antara kaedah penyelesaian yang terbaik untuk menyelesaikan permasalahan. Banyaknya pembunuhan menyebabkan banyaknya pertumpahan darah berlaku di dunia ini. Pembunuhan adalah salah satu fitnah akhir zaman yang memberi tanda dunia kian hampir kepada hari kiamat. Melalui perbincangan tersebut, jelaslah bahawa berlakunya sesuatu pembunuhan tersebut disebabkan oleh manusia itu tidak berpegang kepada tasawur Islam yang sebenar-benarnya.

RUJUKAN

Ajaran Islam (2013). Dosa Paling Besar Membunuh orang yang Tidak Berdosa  diakses dari http://islamiwiki.blogspot.com/2012/03/dosa-paling-besar-membunuh-orang-tidak.html#.UnjqePml5ZQ pada 6/11/2013.

Dewan Bahasa dan Pustaka (2000). Kamus Dewan Edisi Ketiga, Kuala Lumpur,  Malaysia. 

Muhammad Syukri Salleh (2003). 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur. Zebra Editions Sdn. Bhd.
Norimanah Seman (2013). Pembunuhan demi pembunuhan tunggulah saatnya sangkakala ditiup. Majalah Al- Islam terbitan Oktober 2013 bil ke-37.



2 comments: